EWON SAMBUT BAIK CADANGAN LEBIH BANYAK TAMU KOMUNITI DIWUJUDKAN
- Get link
- Other Apps
Ewon bersama ibu-ibu dan bapa-bapa memotong kek sempena sambutan Kaamatan, Raya, Hari Guru dan Hari Ibu Bapa. |
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyambut baik cadangan penduduk kampung mewujudkan sebuah tamu mingguan di Kampung Kiau sebagai usaha merancakkan ekonomi setempat.
Selain itu katanya, pewujudan tamu mingguan itu juga boleh mempromosikan eko pelancongan luar bandar dan juga hasil-hasil produk tempatan di kawasan berkenaan.
“Suatu masa yang lalu, memang ada tamu di Kampung Kiau. Pada hari ini, saya menerima baik cadangan dan hasrat penduduk atau komuniti di mukim ini supaya Tamu Kiau dihidupkan semula seperti di beberapa mukim lain di daerah Kota Belud.
“Oleh itu, saya mahu Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di mukim ini memanggil satu perbincangan khas dengan semua Ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kg Kiau Taburi, Kg Kiau Nuluh dan Kg Kiau Bersatu bersama-sama dengan Persatuan Kebudayaan Kiau, Persatuan Pelancongan Kiau, Persatuan Alumni SK Kiau dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperakukan tapak yang telah dicadangkan untuk tamu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Kaamatan Raya, Hari Guru dan Hari Ibu Bapa anjuran Gabungan MPKK Kiau dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Kiau, Persatuan Kebudayaan Kiau, Persatuan Alumni SK Kiau, GOMPITO, KDCA dan PIBG SK Kiau, di dewan sekolah itu, di sini, pada Sabtu.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar(KPLB) Sabah mempunyai peruntukan berkaitan Program Keusahawanan Desa yang boleh digunakan untuk memperkasakan pusat-pusat tamu di luar bandar.
“Saya ingin melihat program keusahawanan desa di Sabah dapat diperkasakan melalui pembinaan lebih banyak tamu komuniti. Apapun, saya percaya komuniti itu sendiri adalah yang terbaik mengurus tamu-tamu sedemikian melalui MPKK, manakala agensi dan jabatan kerajaan membantu dari segi infrastruktur dan pengisian berkaitan.
“Di Kampung Kiau, ianya sudah sinonim dengan aktiviti pelancongan dan hasil pertanian organik. Saya ingin melihat potensi ekonomi ini dikembangkan bermula dengan pembinaan tamu komuniti sebagai pusat aktiviti ekonomi di mana bukan hanya komuniti setempat yang boleh berkunjung, tetapi juga para pelancong,” katanya.
Ewon berkata, pewujudan tamu komuniti juga merupakan pakej terbaik untuk pelancongan luar bandar yang sedang diusahakan oleh KPLB Sabah.
“Bermula pada tahun ini, KPLB Sabah diberi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk membangunkan infrastruktur sekurang-kurangnya di dua kawasan eko-pelancongan. Kita telah memilih Mesej Kinolosodon, Papar dan Mesej Kaingaran, Tambunan.
“Manakala di Kota Belud, kita telah memilih Kg Kiau dan Kg Sayap untuk pembangunan keusahawanan berasaskan eko-pelancongan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM200,000. Justeru saya berharap, kemudahan infra ini dapat dipakejkan dengan tamu komuniti Kg Kiau supaya lebih mapan,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Kebudayaan Kiau dan RM5,000 untuk jawatankuasa penganjur Kiau Nature Run.
Turut hadir Pengerusi Pelaksana merangkap MPKK Kiau Taburi Edward Kabun, Guru Besar SK Kiau 1 Jhonny Gumbiled, Pengerusi Eko Pelacongan Kiau Saikam Salinggou, Penyelaras KDCA Kiau Charles Dalansing dan Presiden KCA Kiau Kundayis Labeh.-PR
- Get link
- Other Apps
Comments
Post a Comment