RUMAH TERBUKA MEMUPUK SEMANGAT KEKITAAN : AZIZAH
- Get link
- Other Apps
KOTA KINABALU: Sudah menjadi amalan rakyat negara ini, tradisi atau amalan rumah terbuka seakan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina. Amalan rumah terbuka sekadar untuk meraikan rakan taulan dengan hidangan disediakan, tetapi ada rahmat yang tersembunyi di sebalik amalan rumah terbuka.
Semalam lebih kurang 600 orang hadir rumah terbuka Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun di Jalan Kurol Melangi, Kampung Likas.
Menurutnya rumah terbuka dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan selain dapat untuk berkenal kenalan dengan lebih erat.
“Sambutan Aidilfitri sewajarnya mampu menjadi jambatan bagi mengeratkan lagi hubungan siratulrahim serta peluang bermaaf-maafan yang menjadi teras kepada keunikan kita masyarakat pelbagai kaum dan etnik.
“Sambutan hari raya perlu dimanfaatkan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan saling bermaafan dengan ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara. Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk orang ramai berkumpul bersama keluarga tercinta,” katanya.
Jelasnya amalan rumah terbuka sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk sekurang-kurangnya mengenali jiran mereka. Amalan ini sangat berperanan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.
Azizah yang juga Ketua Penyelaras Srikandi Bersatu Sabah berkata sambutan Aidilfitri adalah salah satu daripada wadah terbaik untuk mempamerkan semangat persefahaman, keprihatinan, tolak ansur dan saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia dalam konsep Malaysia Baharu.
“Tradisi mengadakan rumah terbuka perlu diteruskan kerana dapat mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum. Kita patut berbangga kerana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut rakyat beragama Islam bahkan oleh semua rakyat negara ini. Malah, suasana muhibah dapat dirasakan melalui kunjungan sahabat handai, kaum keluarga serta rakan-rakan seperjuangan' katanya.
Tambah beliau, perpaduan rakyat di negeri ini yang utuh dapat membantu negara mengatasi apa jua cabaran dengan lebih mudah, manakala rumah terbuka wajar diteruskan mempunyai kebaikan tersendiri selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, jiran dan keluarga.
Hadir sama Penaung Wanita USIA Sabah Toh Puan Hajah Siti Rukaiyah Datuk Panglima Abdullah, mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak, mantan Pengarah Jasa Sabah, Datuk Abdul Manaf Lakariba, mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Mohd Dahali Haji Matsin, ketua-ketua penaja Srikandi bahagian, pertubuhan bukan kerajaan, ahli jawatankuasa Usia Sabah serta sahabat handai dan kenalan daripada Kuala Lumpur.-PR
- Get link
- Other Apps
Comments
Post a Comment