Klinik amal Bantu golongan memerlukan

Pemeriksaan Kesihatan dan Rawatan Asas dikendalikan oleh Dr Wan Sherhan Datuk Seruji dan Rakan-rakan" Alumni Perubatan Mesir dengan kerjasama Masjid Jamek Kg Likas semalam

KOTA KINABALU: Pakar Perubatan Hospital QEH Dr Wan Sherhan Datuk Seruji berkata, pasukan khidmat amal itu terdiri daripada 30 orang doktor dan beberapa orang jururawat.

“Pasukan kami agak ramai dan kami membahagikan tugasan untuk menjalankan khidmat ini secara bergilir-gilir memandangkan masing-masing mempunyai komitmen dalam bidang kerja hakiki sebagai pengamal perubatan,” katanya.

Jelasnya, usaha itu dimulakan pada dua minggu sebelum Ramadan lalu dan dijalankan di Dewan Al-Farabi Masjid Jamek Kg Likas setiap Jumaat selepas solat Magrib dan Isyak.

“Dalam sesi tersebut, kami mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma bagi tekanan darah, kandungan gula dan kami juga membekalkan ubat-ubatan asas kepada pesakit yang datang misalnya pesakit batuk, demam, selsema dan cirit-birit.

“Kita juga memberikan khidmat nasihat kesihatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak tidak mengira siapa pun dia,” katanya lagi.

Wan Sherhan juga memberitahu bahawa pasukannya mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk turut serta menyertai klinik amal.

“Jika ada orang ramai di luar sana yang berminat untuk menyertai misi membantu golongan yang memerlukan ini, amat dialu-alukan dan tidak semestinya mesti berada dalam bidang perbuatan jika mahu turut serta dalam misi klinik amal,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Sherhan berkata, pasukan klinik amal tersebut juga akan menerima jemputan sekiranya ada jemputan daripada pihak luar.

“Berdasarkan sambutan baik yang kami terima, kami merasakan yang kami juga akan bergerak ke luar kawasan lain dan sekiranya ada pihak yang ingin menjemput kami, kami sedia menerima jemputan dan akan berkunjung ke kawasan tersebut untuk menjalankan misi klinik amal kami.

“Insyaallah, perancangan kami seterusnya adalah untuk mengadakan program ala-ala kem kesihatan,” katanya lagi.

Selama sebulan usia khidmat klinik amal beroperasi, bilangan pesakit yang telah menerima rawatan dan berkunjung untuk mendapatkan khidmat kesihatan adalah melebihi 300 pesakit.

“Kami pada awalnya menggunakan dana persendirian untuk bekalan perubatan namun sekarang kami bersyukur kerana kami juga turut disokong oleh orang-orang persendirian dan klinik-klinik bagi bekalan ubat-ubatan asas untuk pesakit,” ujar beliau.

Pemeriksaan Kesihatan dan Rawatan Asas  Dikendalikan oleh Dr Wan Sherhan dan Rakan-rakan" Alumni Perubatan Mesir dengan kerjasama Masjid Jamek Kg Likas.-

Comments

Popular posts from this blog

Continue holding the Climbathon

Ratu Cantik di lantik Duta Pelancungan Matunggong

Beauty through Grooming