Jenayah rentas sempadan tangguhkan perdagangan barter-Pemuda UMNO Sabah
Abdul Aziz Julkarnain |
KOTA KINABALU: Kejadian penculikan yang berlaku baru-baru ini di perairan Sabah sepatutnya menjadi 'wake up call' kepada seluruh rakyat Sabah untuk mendesak kerajaan negeri agar menghentikan segala polisi-polisi mereka yang sama sekali tidak menguntungkan negeri ini dan penduduknya, kata Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain.
Katanya, mutakhir ini, jenayah rentas sempadan semakin menjadi-jadi terutamanya ketika pemerintahan kerajaan Warisan-Pakatan Harapan (PH).
"Keadaan ini cukup membimbangkan penduduk Sabah terhadap keselamatan mereka terutamanya apabila kerajaan negeri, suka untuk melaksanakan polisi-polisi yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk negeri ini", dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.
"Kita masih tidak lupa apabila antara polisi pertama kerajaan Warisan-PH ialah mencadangkan penarikan balik pengharaman penggunaan bot pam di negeri ini.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah menguatkuasakan pengharaman penggunaan bot pam sejak April 2016 bagi meningkatkan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)", tegasnya.
Menurut Abd.Aziz, rakyat Sabah telah bersatu hati membantah keputusan penarikan balik tersebut kerana khuatir ianya akan menyebabkan keselamatan perairan negeri akan terjejas jika terus dilaksanakan.
Menurut beliau, akhirnya kerajaan telah beralah dan menangguhkan penggunaan bot pam di negeri ini sehingga mereka menemukan mekanisme yang terbaik untuk melaksanakannya.
"Begitu juga dengan isu perdagangan barter antara Sabah dan Filipina yang telah dibuka semula oleh kerajaan setelah digantung sejak tahun 2016 lagi oleh kerajaan BN terdahulu kerana isu yang sama iaitu keselamatan", tegasnya.
Beliau menegasnya, Pemuda UMNO Sabah sebelum ini telah membantah penarikan balik penggantungan perdagangan barter tersebut dan telah memperingatkan kerajaan negeri berkali-kali bahawa isu keselamatan memainkan peranan penting untuk menjaga dan memelihara industri pelancongan serta sektor yang berkaitan dengannya.
Sebagai rekod katanya, industri pelancongan dan sektor berkaitan dengannya merupakan sumber utama pendapatan negeri dengan hasil dagangan melebihi RM7.7 billion sebelum ini.
"Sekiranya, jenayah rentas sempadan seperti 'kidnap for ransom' menjadi-jadi kerana pelaksanaan semula perdagangan barter tersebut, maka industri pelancongan kita juga akan turut terjejas kerana pelancong takut untuk datang lagi ke negeri ini.
"Kita tidak mahu pelancong takut datang ke negeri ini seperti yang berlaku ketika peristiwa pencerobohan Tanduo. Ketika itu industri pelancongan kita terjejas teruk. Tempahan hotel-hotel jatuh merundum. Operator-operator pelancongan, bas, agensi-agensi pelancong dan sebagainya mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas teruk", katanya.
Abdul Aziz berkata, " kita tidak mahu pelancong takut datang melawat ke negeri ini. Jika ini berlaku maka perniagaan-perniagaan kita akan turut terjejas dan pekerja-pekerja kita yang majoritinya orang tempatan akan mulai hilang pekerjaan".
"Kuasa membeli rakyat pun akan terkesan. Manakala, kerajaan negeri pula akan turut kehilangan berbillion-billion ringgit sumber pendapatan negeri.
"Apabila pendapatan negeri berkurang, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kita juga akan jatuh merundum. Kerajaan akan gagal mengekalkan rekod KDNK terbaik negeri di seluruh negara iaitu sebanyak 8.2% sewaktu era pentadbiran BN dahulu.
"Apabila ini berlaku, rating kita juga akan jatuh. Para pelabur kewangan juga akan hilang keyakinan untuk melabur. Yang mahu melabur tidak jadi melabur. Yang sudah melabur, akan keluarkan pelaburan mereka pula", tambahnya.
Serentak itu, Pemuda UMNO Sabah sekali lagi menyeru kepada kerajaan negeri terutamanya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Shafie Apdal agar memberi pertimbangan sewajarnya untuk menangguhkan pelaksanaan perdagangan barter sehingga jenayah rentas sempadan ini dapat diatasi sepenuhnya demi kebaikan dan kemakmuran berpanjangan di negeri ini.-pr
Comments
Post a Comment