BERSATU daftar ahli sahih, bukan semberono
Arsit (tengah) bersalam dengan tetamu yang menghadiri rumah terbuka beliau. |
PUTATAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mendaftar ahli baharu secara semberono sebaliknya hanya individu yang mempunyai dokumen dan bukan ahli mana-mana parti lain akan diterima menyertainya.
Ketua Penaja Bersatu Bahagian Putatan, Datuk Seri Dr. Arsit Sedi berkata, bagi bekas ahli mana-mana parti yang mahu menyertai Bersatu pula, mereka perlu membuktikan telah melepaskan keahlian selama sebulan sekurang-kuranya sebelum mendaftar ke dalam Bersatu.
Katanya, langkah itu diambil untuk memastikan tiada mana-mana parti lain terutama daripada komponen kerajaan yang mendakwa ahli mereka dirampas serta memastikan sokongan kepada Bersatu adalah tulen.
"Dulu kalau mahu daftar parti cuma minta nombor kad pengenalan tetapi sekarang kami syaratkan mereka sertakan salinan dokumen itu bersama borang keahlian jika tidak permohonan ditolak.
"Ini adalah antara pesanan daripada kepimpinan pusat kepada kami untuk memastikan Bersatu mempunyai penyokong yang tulen serta tidak bersengketa dengan parti lain," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka aidilfitri di kediamannya di Kampung Sedomon, Petagas, semalam.
Antara tetamu yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka itu ialah Pembantu Menteri Kepada Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Haji Uda Sulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas.
Turut hadir di majlis itu ialah isteri Arsit, Datin Seri Hajah Zairenah Irene Siyu, Ketua Penaja Srikandi Bersatu Bahagian Putatan, Puan Salma Said, Ketua Penaja Armada Bersatu Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, pemimpin Bersatu Bahagian Putatan dan rakyat pelbagai kaum.
Menurut Arsit, Bersatu Putatan kini mempunyai kira-kira 3,000 ahli di 16 pusat daerah mengundi sejak ditubuhkan pada April lalu.
Katanya, sebanyak 16 cawangan Bersatu juga telah ditubuhkan di Putatan dengan sasaran 150 orang ahli setiap cawangan.
"Di Sabah kita sasarkan sebanyak 200,000 ahli berdaftar dengan Bersatu, justeru kami yakin ahli-ahli baharu akan turut datang daripada parti lain tetapi mereka perlu menepati syarat yang ditetapkan terlebih dahulu," katanya.
Tambahnya, menjelang pemilihan sulung Bersatu Sabah Oktober nanti, beliau mengakui beberapa pihak dijangka tampil untuk merebut jawatan yang ditawarkan namun keadaannya terkawal.
"Kami menaruh kepercayaan kepada Ketua Penaja Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor untuk menguruskan perkara ini demi kekuatan parti," ujar beliau.-pr
Comments
Post a Comment