Frankie Liew sumbang angpao dan makanan kepada warga tua
Frankie (barisan hadapan, sembilan dari kiri) bergambar bersama kakitangan Tukim, Nuga Best, Kian Teck dan YMM Cawangan Tanjung Aru yang menyertai program amal itu |
KOTA KINABALU: Menjelang perayan Tahun Baru Cina, golongan warga emas di Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut tidak dilupakan oleh mereka yang prihatin khususnya syarikat-syarikat swasta dan juga individu.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-Cina (Malaysia-China Chamber of Commerce)(MCCC) Cawangan Sabah, Datuk Frankie Liew telah mengetuai kakitangan 2 buah syarikatnya iaitu Tukim Enterprise Sdn.Bhd dan Nuga Best (Sabah) Sdn.Bhd mengunjungi 94 penghuni warga emas rumah amal itu untuk menyampaikan sumbangan berupa makanan dan “Ang Pow”.
Frankie Liew merupakan Pengarah Urusan (MD) Tukim Enterprise dan Pengerusi Nuga Best (Sabah) Sdn.Bhd.
Turut menyertai rombongan Frankie dalam kunjungan mesra itu ialah Pengarah Kian Teck Sdn.Bhd, Encik Louis Tan, Pengarah Urusan Nuga Best, Francis Liew dan anggota Yong Malaysia Movement (YMM) Cawangan Tanjung Aru.
Menurut Frankie, lawatan ke rumah amal menjalang perayaan Tahun Baru Cina itu merupakan aktiviti tahunan syarikatnya sejak lebih 20 tahun lalu.
“Lawatan amal yang diadakan setiap tahun ini, diharap dapat membawa sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada para penghuni di Rumah Warga Tua Sri Pritchard menjelang perayaan Tahun Baru Cina”, katanya.
Beliau berkata, program amal itu juga selaras dengan konsep masyarakat penyayang dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikatnya.
Menurutnya, generasi muda perlu diterap dengan cinta dan kasih kepada golongan warga emas bukan sahaja semasa menjelang sesuatu perayaan, tetapi sepanjang hayat.
Turut hadir di majlis itu ialah Penolong Penguasa Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Puan Juddy George dan kakitangannya.-AG
Comments
Post a Comment